Blog Lain

Thursday, December 9, 2010

Bayaran tambahan SBP patuh surat pekeliling, dipersetujui mesyuarat

2010/12/02

KEMENTERIAN Pelajaran merujuk kepada laporan ruangan ini bertarikh 15 November lalu bertajuk ‘SBP patut kekal untuk pelajar miskin, luar bandar’.

Kementerian sentiasa patuh matlamat asal penubuhan Sekolah Bersama Penuh (SBP). Dasar pengambilan murid iaitu 70 peratus murid luar bandar dan 30 peratus murid bandar, dipatuhi dalam melaksanakan keputusan pengambilan murid ke SBP, di samping akur akan syarat permohonan kemasukan murid untuk Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat.

Persaingan hebat di kalangan murid cemerlang ini memastikan hanya yang benar-benar layak akan dipilih. Kecemerlangan dimaksudkan bukan saja dalam bidang akademik, malah kokurikulum dan sahsiah turut menjadi penentu seseorang murid itu dipilih atau tidak ke SBP, supaya matlamat Falsafah Pendidikan untuk melahirkan modal insan yang seimbang dapat direalisasikan.

Kuota pengambilan sebanyak 20 peratus diberi kepada pengetua antara tujuannya meningkatkan aspek kebitaraan sesebuah SBP, supaya kecemerlangan yang ada di sesebuah institusi itu berkesinambungan.

Melalui sesi temu duga yang dilaksanakan oleh pengetua mereka dapat mengenal pasti potensi murid dengan lebih dekat.

Sebagai institusi pendidikan, sekolah perlu merencana dan melaksanakan beberapa perkhidmatan dan kemudahan tambahan kepada murid. Pelaksanaan perkhidmatan dan kemudahan tambahan ini memerlukan peruntukan tambahan secara khusus.

Ibu bapa turut mempunyai peranan untuk turut bersama melaksanakan tanggungjawab membantu sekolah melaksanakan program dan aktiviti tambahan bagi murid dengan membayar bayaran tambahan lain sebagai tanda komitmen terhadap pendidikan anak mereka.

Bayaran tambahan selain bayaran yang dibenarkan seperti diperuntukkan dalam Akta Pendidikan 1996: Peraturan-peraturan Pendidikan, Surat Pekeliling Iktisas dan Surat Siaran yang sedang berkuat kuasa, perlu dibincangkan dan mendapat persetujuan sama ada melalui Mesyuarat Agung PIBG atau Mesyuarat Jawatankuasa PIBG.

Sebarang bayaran tambahan yang dikenakan semata-mata berkisar kepada perkhidmatan yang diberikan kepada murid. Sekiranya pihak sekolah bercadang untuk membuat kutipan bayaran lain, pihak sekolah perlu terlebih dulu mendapat kebenaran dan kelulusan daripada pendaftar sekolah.

Hak murid cemerlang dalam kalangan miskin dan berpendapatan rendah untuk meneruskan pelajaran mereka di SBP sentiasa diberi perhatian. Sekalipun mereka diminta menjelaskan bayaran tambahan itu, pelbagai bantuan dan kebajikan disediakan dan disalurkan kepada mereka seperti biasiswa, bantuan projek khas, bantuan skim pinjaman buku teks, pemansuhan yuran peperiksaan awam.

Murid dalam kalangan keluarga berpendapatan RM4,999.99 ke bawah dikenakan Yuran Makan Asrama hanya RM1 sehari berbanding RM3 sehari bagi mereka yang berpendapatan tinggi. Mereka juga dikecualikan membayar wang cagaran asrama. Bayaran tambahan itu pula boleh dijelaskan secara bansuran mengikut kemampuan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran.

No comments:

Post a Comment