Blog Lain

Saturday, April 11, 2009

ULANGKAJI

Bina lima soalan berdasarkan petikan ini.

Mengimbau ‘Bah Besar’ 1926, 1971

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Banjir gelombang kedua yang melanda Johor sekarang mengingatkan kita kembali kepada siri kejadian banjir besar yang berlaku di Malaysia sebelum ini termasuk bencana terburuk yang digelar ‘Bah Besar’ tahun 1926.

Profesor Emeritus Sejarah Universiti Malaya (UM), Datuk Dr. Khoo Kay Kim berkata, kejadian banjir besar pada tahun itu dianggap paling buruk kerana ia menyebabkan keseluruhan Kuala Lumpur tenggelam.

Katanya, pada tahun itu banjir turut melanda negeri-negeri lain termasuk Kelantan, Terengganu dan Perak yang menyebabkan kemusnahan kediaman, jalan raya dan tanaman.

Banjir 1926 turut meranapkan Istana Sri Sayong yang terletak di tebing Sungai Perak sehingga terpaksa diganti baru dengan Istana Iskandariah.

Bagaimanapun, kata beliau, tidak banyak rekod diperoleh mengenai bencana tersebut kerana ketika itu Tanah Melayu diperintah oleh British.

‘‘Banjir kedua terburuk berlaku pada 1971 setelah hampir 50 peratus kawasan Kuala Lumpur ditenggelami air.

“Beberapa negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak juga mengalami banjir besar berikutan hujan lebat yang turun tanpa henti selama seminggu,” kata Kay Kim kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Banjir yang berlaku sepanjang bulan Januari 1971 itu menyebabkan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein terpaksa mengisytiharkan darurat dan menubuhkan dua jawatankuasa Kabinet yang berperanan memberi bantuan dan melaksanakan pemulihan banjir.

Negeri paling teruk dilanda banjir itu ialah Pahang terutama di daerah Pekan, kawasan Parlimen diwakili Tun Razak.

Banjir hanya surut seminggu kemudian selepas mengorbankan sebanyak 57 orang dan menyebabkan kerugian harga benda kira-kira RM84.7 juta.

Kejadian banjir besar lain yang direkodkan di seluruh Malaysia ialah pada tahun 1931, 1947, 1954, 1957, 1967 dan 1971 manakala banjir yang hanya melibatkan negeri-negeri tertentu pula terjadi pada 1973, 1979, 1983 dan 2004.

Bencana banjir juga dilaporkan berlaku pada 1886. Rekod Inggeris mencatatkan banjir itu disertai tiupan angin kencang menyebabkan banyak kemusnahan harta benda dan nyawa di Kelantan.

Menurut Kay Kim, banjir pada 1926 dan 1971 berlaku kerana kelemahan infrastruktur saliran yang tidak mampu menampung hujan dalam kuantiti banyak.

“Ia terbukti kemudian apabila kerajaan selepas itu mengambil langkah segera memperluaskan longkang, sungai, empangan dan tali air,” katanya.

Selepas banjir 1971, kerajaan juga menubuhkan Suruhanjaya Tetap Kawalan Banjir, mewujudkan pelan induk saliran untuk bandar-bandar utama dan memperkenalkan sistem amaran banjir.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Hal Ehwal Iklim Universiti Malaya, Profesor Dr. Khairulmaini Osman Salleh ketika dihubungi bersetuju dengan Kay Kim bahawa ketiadaan infrastruktur saliran sempurna menyebabkan banjir.

Beliau berkata, sistem saliran yang direka tidak mengambil kira faktor cuaca luar biasa yang mungkin berlaku berpunca daripada pemanasan global.

‘‘Saya harap mereka yang terlibat dalam perancangan bandar akan belajar daripada sejarah dan mengambil kira faktor peningkatan kepadatan penduduk berikutan pertumbuhan kawasan perumahan dan industri,” katanya.

Menurutnya, faktor-faktor lain yang menyebabkan banjir ialah kawasan takungan air seperti paya yang ditimbus untuk pembangunan, pembinaan jambatan terlalu kecil dan rendah sehingga menyebabkan sampah tersekat, air pasang yang menghalang banjir mengalir ke laut dan sungai yang terlalu cetek.

3 comments:

  1. Irdina~
    SOALAN:
    1. Bilakah bah tersebut berlaku?
    A. 14 Januari
    B. 2 Januari
    C. 2 Mac
    D. 3 July

    2. Dimanakah bah tersebut berlaku?
    A. Kuala Lumpur
    B. Pulau Pinang
    C. Pahang
    D. Sarawak

    3. Dimanakah Istana Sri Sayong terletak?
    A. Tebing Sungai Perak
    B. Tebing Sungai Kelantan
    C. Tebing Sungai Kedah
    D. Tebing Sungai Melaka

    4. Siapakah Pengarah Pusat Kajian Hal Ehwal Iklim Universiti Malaya?
    A. Profesor Dr. Khairulmaini Othman Salleh.
    B. Datuk seri Abdullah Ahmad Badawi.
    C. Tun Hussein Onn
    D. Datuk seri Najib Tun Razak.

    5. Dimanakah negeri paling teruk dilanda bah berlaku?
    A. Pahang
    B. Sabah
    C. Terengganu
    D. Kelantan

    ReplyDelete
  2. 1. Banjir gelombang kedua yang melanda _________ sekarang mengingatkan kita kembali kepada siri kejadian banjir besar.

    A. Johor
    B. Perak
    C. Selangor
    D. Negeri Sembilan

    2. pada tahun itu banjir turut melanda negeri-negeri lain termasuk Kelantan, Terengganu dan ____________

    A. Pulau Tioman
    B. Kelantan
    C. Perak
    D. Sabah

    3. Ketika itu Tanah Melayu diperintah oleh ________

    A. Jepun
    B. British
    C. Israel
    D. Amerika

    4. Banjir kedua terburuk berlaku pada 1971 setelah hampir 50 peratus kawasan _____________

    A. Kuala Lumpur
    B. Ipoh
    C. Pulau Pangkor
    D. Putrajaya

    5. Negeri paling teruk dilanda banjir itu ialah __________

    A. Perak
    B. Perlis
    C. Kedah
    D. Pahang

    ReplyDelete
  3. Irdina salah eja Julai

    ReplyDelete