Kriteria Pemilihan Ke SBP Kembali Ke Asal
Saturday, November 13, 2010
Kriteria pemilihan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) akan kembali berpandukan tujuan asal sekolah sedemikian diadakan, iaitu memilih mereka yang mendapat keputusan cemerlang daripada kalangan keluarga yang miskin, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"The 'cream' (yang terbaik) tapi di kalangan keluarga yang miskin. Itu adalah asas kenapa SBP diadakan. Asrama disediakan sebab tempat tinggal jauh untuk mudah mereka belajar. Pembiayaan kos juga agak rendah. Asas itu harus kita gunakan sekarang," kata beliau.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong bahawa hanya 10 peratus daripada 48,327 murid yang memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini berpeluang melanjutkan pelajaran di SBP.
Bercakap kepada pemberita di sini Sabtu, Muhyiddin berkata kesukaran memasuki SBP bukan perkara baru kerana jumlah pelajar yang cemerlang agak ramai manakala tempat untuk SBP adalah terbatas iaitu sebanyak 7,000 sahaja.
"Oleh itu jangan rasa kecewa kalau tidak dapat tempat. Hakikatnya, kita tidak dapat menampung semua," kata Muhyidin yang berada di Jepun untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini.
Beliau berkata ramai yang berfikiran bahawa SBP adalah sekolah elit kerana sering mencapai keputusan yang baik walaupun sekolah-sekolah yang lain turut cemerlang.
Oleh itu, katanya ramai ibu bapa yang ingin anak mereka memasuki SBP sedangkan usaha untuk mempertingkatkan mutu pembelajaran di semua sekolah sedang dilakukan sekarang.
"Kita tahu di kalangan SBT (sekolah berprestasi tinggi) bukan semuanya sekolah berasrama penuh. Tahun depan saya akan umum 30 sekolah lagi, sebahagian besarnya bukan berasrama penuh," katanya.
Terdapat 10 buah sekolah yang bertaraf SBT pada masa ini.
Sumber: Bernama - 13/11/10
No comments:
Post a Comment